Blogger Templates

Tuesday, July 27, 2010

Riba oh Riba

Assalamualaikum pembuka bicara...

Takut dengan isu RIBA. Hati rasa tak tenteram bila teringat makan kita,minum kita, segala wang yang dibelanjakan adalah wang HARAM. Astaghfirullah hala'zim...tapi tak tahu macam mana nak mengelak. Nak suruh umi dan abah tanggung, ramai lagi tanggungannya. Semua adik beradik masih belajar. Yang tua pun belajar, yang muda lagi lah. Nak gadai tanah. Tak ada la pulak tanahnya. Sedih bila fikir...

Sebelum nak sambung belajar, banyak juga fikir masalah ni. Setiap hari mengharap padaNya supaya ada tajaan yang tak gunakan wang haram. Tapi apakan daya. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan.

" (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. "
(QS Ali 'Imran, 3:191)

Allah tidak mencipta sesuatu itu dengan sia-sia. Mungkin diri ini masih jauh dari Allah sebab itulah Allah memberi suatu teguran supaya diri ini lebih dekat denganNya. Lebih khusyuk menghadapNya. Lebih ikhlas mentaatiNya. Dan lebih tulus mencintaiNya...

Mungkin permasalah ini boleh boleh diqiaskan dengan kisah pada zaman sahabat Rasulullah s.a.w.

Kisah berikut dikutip oleh Imam Qurtubi sebagai teladan: Seorang kafir Musailamah al-Khadzdzab telah dapat menangkap dua orang sahabat Rasulullah saw dan dia berkata kepada yang pertama - Bagaimana pendirian anda tentang Muhammad? Jawab sahabat - Dia adalah Rasul Allah. Bertanya lagi Musailamah - Bagaimana pula pendirian anda terhadap saya ? Sahabat menjawab - Engkau juga sama (adalah kononnya juga Rasul Allah ). Dengan itu dia dilepaskan.

Musailamah bertanya pula kepada sahabat kedua - Bagaimana pendirian anda tentang Muhammad ? Sahabat menjawab - Beliau adalah Rasul Allah. Lanjut Musailamah - Bagaimana pendirian anda tentang saya ? Jawab sahabat - Saya pekak, tidak dapat mendengar ! Musailamah mengulangi pertanyaan hingga 3 kali dan sahabat memberi jawapan yang sama. Akhirnya dia dibunuh oleh Musailamah.Kisah ini sampai kepada pengetahuan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan beliau bersabda: Yang pertama memanfaatkan kemudahan dari Allah Ta'ala sedang yang kedua tampil dengan tegas mempertahankan yang hak - selamat untuknya !
(dipetik dari link, sumber rujukan Imam al-Qurtubi - Tafsir al-Jamii' lil Ahkam al-Qur'an, 10/189)

Tapi persoalannya, adakah sama situasi sahabat yang menyatakan kufur kerana diancam bunuh dengan pelajar yang di ancam tertutup peluang belajar?

Adakah ini dikatakan DARURAT?
Sebelum seseorang itu mengkategorikan dirinya sebagai berada di dalam keadaan darurat, ada beberapa perkara yang ditentukan syara' yang wajib dia perhatikan terlebih dahulu - iaitu

Pertama - Darurat yang dihadapinya ialah satu keadaan yang benar-benar mencabar keselamatan hidup dan hayatnya atau mana-mana anggota tubuhnya secara pasti. Tidaklah dikatakan darurat apabila seseorang itu meninggalkan solatnya hanya kerana kesibukkan urusan perniagaannya.

Kedua - Keadaan darurat yang dihadapinya adalah benar-benar darurat dan bukan merupakan habuan nafsu yang menyeleweng atau kemalasan diri untuk menegakkan syari'at. Contohnya seseorang yang meminum khamar padahal minuman lain sedia ada lalu diberikan alasan darurat.

Ketiga - Telah berusaha sekuat mampu untuk mengelakkan diri dari terjatuh ke dalam suasana darurat. Contohnya ialah telah berusaha sekuat mampu bagi mencari makanan yang halal dan telahpun bertahan diri dengan kelaparan selama beberapa ketika sebelum akhirnya terpaksa mengambil yang tidak halal sebagai makanan.

Keempat - Seseorang itu benar-benar telah berada dalam keadaan darurat atau dalam jangkaannya yang kuat akan berada dalam keadaan darurat. Contohnya tidak dikatakan darurat apabila seseorang itu sengaja meninggalkan solat Jumaat di masjid atas alasan akan turun hujan ribut yang membinasakan padahal ahli kajicuaca hanya meramalkan permulaannya di lewat petang.

Kelima - Dalam jangkaan yang kuat dia tidak akan terlepas dari kesulitan yang dihadapinya sehingga beberapa ketika yang berpanjangan. Contohnya ialah kesakitan seseorang itu membuatkan dia terpaksa menerima perubatan yang berasaskan alkohol setelah pasti bahawa perubatan tanpa alkohol tidak wujud dan menantikan kewujudannya akan mengakibatkan nyawanya berakhir.
(dipetik dari link, Lihat huraian mendalam oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Nazhariyah al-Dlarurah al-Syari'ah, ms 88-92)

Mungkin permasalahan ini boleh dikategorikan dalam perkara yang ketiga di atas. Seseorang itu telah berusaha sedaya mungkin untuk mengelak daripadanya tetapi masih lagi dalam kekangan tersebut. Lalu terpaksa mengambil jalan yang salah. Walhal, dalam diri tidak meredhainya.

Persoalan seterusnya, bagaimana ingin membersihkan wang yang haram itu?

"padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba"
(QS Al-Baqarah, 2:275)

Ya. Sememangnya sesorang itu mengetahui ia adalah haram. Dan seharusnya seseorang itu perlu berusaha untuk membersihkannya. Hal ini penting supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang dijelaskan pada perkara kedua diatas. Salah satu cara adalah membuat permohonan agar dihapuskan pembayaran peratus yang dikenakan oleh pihak tersebut. Sekiranya diluluskan, Alhamdulillah. Jika tidak diluluskan, maka seseorang itu dikira sudah terlepas daripada tanggungan. Namun wajib untuk kita membayar semua hutang yang telah dipinjam menurut undang-undang Malaysia kerana perjanjian telah dibuat.

Lebih elok jika permohonan tersebut disusuli dengan pencapaian yang cemerlang supaya pihak tersebut boleh memberikan peluang untuk menukarkan jenis pinjaman kepada 'pinjaman boleh ubah'. Di mana peratus penambahan boleh dihapuskan sekiranya pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam bidang akademik. Jika pihak tersebut benar-benar memberi peluang kepada pelajar seperti ini, adalah menjadi kewajipan bagi pelajar menggapai status kecemerlangan. Ia dikira berdosa sekiranya seseorang tidak bersungguh-sungguh dalam mendapatkannya kerana mempunyai peluang untuk mengelak tetapi bermalasan dalam meraihnya.
(cadangan dikemukakan oleh Zaharuddin Abd Rahman)

Disarankan juga, perbanyakkanlah bertaubat dan melakukan amalan-amalan sunat disamping memenuhi yang wajib. Penting bagi seseorang untuk memberatkan neraca timbangan di akhirat kelak supaya tidak dijerumuskan ke dalam lembah yang menyala dan membakar.

159. Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al Kitab, mereka itu dila'nati Allah dan dila'nati (pula) oleh semua (mahluk) yang dapat mela'nati,

160. kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan[*] dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang.
[*]. Mengadakan perbaikan berarti melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik untuk menghilangkan akibat-akibat yang jelek dari kesalahan-kesalahan yang dilakukan.
(QS Al-Baqarah, 2:159-160)

Semoga yang menulis ini lebih mendahului dalam perlakuan yang dikatakan dan semoga yang membaca bersama mengambil pengajaran dan perbaikan. InsyaAllah.

Sekian. Wassalam.

2 comments:

  1. kenapa suka sangat ngan riba ni? Riba kambing ke riba ayam?

    ReplyDelete
  2. riba kambing, riba ayam? ini bukan makanan la. Post ini untuk tenangkan fikiran yang kusut disebabkan riba.orang yang tidak termasuk dalam golongan ni takkan faham betapa terseksanya hidup ini.

    ReplyDelete